Pemilihan Lisa Surihani membawakan watak sebagai Junaidah iaitu isteri pertama P. Ramlee bagi pementasan P. Ramlee The Musical sememangnya dinantikan aktres tersebut. Walaupun ia bukan penampilan pertamanya di pentas teater, Lisa mengakui menanti tawaran ini daripada produksi tersebut.
Lisa turut melahirkan rasa kagumnya terhadap produksi ini dari segi cara kerja mereka dan setelah mendapat tawaran ini dia semakin teruja untuk menjadi sebahagian daripada team yang dikelolakan oleh Puan Sri Tiara Jacquelina itu.
“Lisa memang menantikan tawaran sebegini daripada produksi Enfiniti Media Vision kerana sekian lama berharap dapat bersama menjadi sebahagian daripada sebuah team hebat.
“Melihat kepada kejayaan pementasan sebelum ini, bucket list saya yang satu ini akhirnya tertunai juga apabila diberi kepercayaan untuk watak Junaidah. Namun begitu ia juga disertakan cabaran yang berkehendakkan saya menyanyi.
“Tapi sebagaimana yang semua tahu mengenai prestasi serta cara kerja produksi ini, dibawah arahan Pat Ibrahim, saya rasa dia tahu apa yang perlu dilakukan untuk menghidupkan watak Junaidah itu.
“Saya juga berharap usaha ini dapat memantapkan gaya persembahan saya untuk seiring pelakon lain dalam pementasan muzikal ini,”cerita Lisa panjang lebar tentang impiannya serta cabaran yang bakal di tempuhi menjayakan watak isteri P.Ramlee yang pertama itu.
Isteri kepada pengarah Yusry Abd Halim ini telah disarankan untuk menerbitkan sendiri karektor Junaidah itu melalui penghayatannya bersama Pat Ibrahim sepanjang latihan sebelum pementasan di langsungkan pada 3 Oktober kelak.
“Saya dah duduk berbincang dengan Pat dan dia memberitahu bahawa kami akan cuba tampilkan Junaidah melalui skrip yang diberi . Kami akan cari siapa Junaidah dan perkara ini mengujakan kerana saya tidak dibenarkan untuk merujuk kepada sesiapa pun untuk watak Junaidah.
“Ini kerana Pat mahu lihat bagaimana saya dapat menterjemahkan watak Junaidah itu dengan cara yang tersendiri,” jelas Lisa ketika ditemui di majlis pelancaran teater ‘P. Ramlee the Musical’ baru-baru ini.
Teater muzikal P Ramlee ini turut akan menampilkan Tiara Jacquelina, Tony Eusoff dan Nadia Aqilah. Ia akan dipentaskan pada 3 hingga 13 Oktober depan di Panggung Sari Istana Budaya.
No comments:
Post a Comment